Quantcast
Channel: Muhammad Qul Amirul Hakim
Viewing all articles
Browse latest Browse all 343

Jalan Kiri, Jalan Kanan dan Jalan Yang Lurus

$
0
0
Assalamu'alaikum,

Si Salik boleh mendapatkan manfaat dari sifat baharu seperti wangian tertentu ada kegunaannya, batu tertentu ada fadilatnya, tongkat tertentu ada hikmahnya, dan Si Salik masih boleh 'menjadi Soleh', tetapi bagi Pencinta Jalan Ketuhanan yang hakiki, apa yang didambakannya hanyalah Yang Kekal Abadi. Jangan terhijab dengan natijah dari sifat baharu...

Dalam perjalanan menuju Tuhan Yang Maha Esa, Si Salik akan menempuhi ujian2 dari kiri dan kanan.  Ujian di sebelah kiri adalah ujian2 dari makhluk2 batil seperti jin, syaitan dan tentera2 iblis, juga Iblis sendiri bagi yang berdarjat tinggi.  Tanpa pemahaman dan pengamalan syariat yang kukuh dan mantap, sesiapapun boleh gagal dalam ujian dengan Jalan Kiri. Ujian Jalan Kiri berkait rapat dengan dosa besar dan kecil, ketika hati masih diselubungi dosa dan maksiat, penuh zulmat akibat titik-titik hitam yang terbentuk dari usia sebelum Baligh, sehingga baligh dan tidak dicuci dan dibersihkan.  Tugas utama Si Salik dalam urusan ini adalah memahami keperluan dan kepentingan Fiqh kerana tubuh-badannya itu menjustifikasi akan pentingnya Fiqh dalam hidupnya. Dalam masa yang sama, Fiqh itu perlu disepadukan dengan Usuludin dan Tasawuf.  Apabila Tasawuf mula diamalkannya, maka Nafsu Ammmarah di dalam dirinya mahu ditundukkan perlahan-lahan, sedikit demi sedikit agar titik-titik hitam itu semakin hilang. Bagaimana mahu menghilangkan titik-titik hitam itu? Sudah pasti dengan memperbanyakkan zikrullah dan banyakkan berselawat, maka cahaya-cahaya lantunan amal itu akan memusnahkan sedikit demi sedikit zulmat di hatinya. Masakan hati yang kotor dapat dibersihkan tanpa jalan kebenaran sepertimana dalil (Al-Isra: ayat 81). Maka jalan menghapuskan kebatilan dalam dirinya mestilah mengamalkan kebenaran dahulu.


 وَقُلْ جَاءَ الْحَقُّ وَزَهَقَ الْبَاطِلُ إِنَّ الْبَاطِلَ كَانَ زَهُوقًا
dan Katakanlah: “Yang benar telah datang dan yang batil telah lenyap”. Sesungguhnya yang batil itu adalah sesuatu yang pasti lenyap. (Al-Isra’ :81)

Akan jalan kiri itu, ramai yang tertewas jika amalan yang dilakukan tidak disertai dengan panduan syariat. Umumnya, syariat sudah cukup dalam menghalang kita terpedaya dengan jalan kiri. Ini yang dikhabarkan oleh Allahyarham Ustaz Ahmad Janggut kepadaku dalam satu ziarah kepadanya lama dahulu.  Maka kebanyakan Tok Bomoh, dukun, pawang, guru silat, bidan, dan lain2 gelaran itu dengan hati yang penuh zulmat mengamalkan sesuatu kerana berhajat kepada manfaat dan natijah amalan itu, tanpa menimbangkannya dengan neraca syariat, maka boleh tersesat mereka. Maka asbab itulah banyak jampi serapah orang Melayu itu boleh membawa kepada syirik, khurafat dan kepada kekufuran sama ada secara disedari atau tidak disedari.

Akan jalan kanan pula, apabila hati sudah mulai bersih dari kekotoran2 hasad dengki, dendam, irihati dan lain2 penyakit ammarah, maka ditambah pula dengan amalan-amalan kebenaran, yang wajib tidak ditinggal, yang haram dijauhi, yang Sunnat semakin ditambah, maka habiskah ujiannya? Tidak sama sekali. Meningkat darjat seseorang dari Muslim ke Mukmin dan Solehin serta darjat2 di atas orang2 Soleh itu, maka semakin berat ujian yang dihadapi. Jangan dikatakan apabila yang haram sudah dijauhi, maka hati di dalam bongkak berkata bahawa Si Salik itu tidak takut akan keupayaannya menjauhi dosa2 besar itu. Sesungguhnya menjauhkan diri dari melakukan dosa besar itu boleh menjadi 'ujian yang susah ditempuhi' jika Allah berkehendak menguji akan kita.  Maksudnya suatu ujian yang kita sudah lulus, yakin tidak akan gagal lagi, jangan kita bongkak dengannya. Allah SWT berkehendak 'membawa ujian menjauhkan diri dari melakukan dosa besar itu' menjadi satu yang amat sukar bagi kita jika DIA menukarkan wataknya, tempatnya, keadaannya, situasinya dan 1001 perkara. Hamba sendiri pernah menempuhi ujian sebegini, dan bersyukur ke hadrat Allah, Allah Taala 'lepaskan' hamba ujian ini apabila hamba 'duduk pada tiada daya upaya melainkan dengan pertolongan Allah'. Nak merintih dan memohon serta merayu kepada-NYA dan merasai DIA maha berkuasa atas segala sesuatu, kita ini amat lemah, cukup-cukup lemah, maka pertolongan dari-NYA akan sampai, Insya-Allah.  

Si salik di jalan kanan akan menempuhi ujian demi ujian dalam meningkatkan darjatnya, semakin mendekatkannya dengan Tuhannya. Maka jika ditakdirkan Allah AWJ, Si Salik mungkin akan diuji dengan "wangian tertentu ada kegunaannya, batu tertentu ada fadilatnya, tongkat tertentu ada hikmahnya, sifat baharu tertentu ada khasiatnya, amalan ini ada gunanya, amalan itu boleh buat ini, amalan sekian-sekian akan menghasilkan sekian-sekian".  Maka Si Salik memang sudah di jalan kebenaran, kerana dia berupaya 'memutuskan dirinya' dari kejahatan, keburukan dan kekotoran jalan batil dan dosa-dosa besar. Akan tetapi bentuk ujiannya tidaklah sama. Apa matlamat beliau dalam kehidupannya? Apa hakikat kebenaran yang sebenar-benar beliau cari dalam hidup yang singkat ini? Jika Si Salik asyik melayan, menyibukkan dirinya dengan  'sifat baharu ada natijahnya', maka Si Salik berkemungkinan besar akan sibuk sehingga ke penghujung akhir hayatnya dengan 'sifat baharu ada natijahnya'. Ilmu dan perbendaharaan Allah Taala mana ada penghujungnya dalam dunia yang singkat ini. Lepas ini, yang itu, lepas itu, yang ini, lepas satu selesai, satu yang lain pula akan timbul... 

Di jalan kanan ini, Si Salik wajib berhati-hati dengan ujian dari alam ghaib, sama ada dari alam ghaib peringkat rendah mahupun tinggi. Jika yang datang itu bersih, mengaku sekian-sekian, bagaimana mahu disahkan yang datang itu dari yang hak?  Dalam Al-Quran ada beberapa ayat, contohnya ayat 88 dan 96 dari Surah Taha ini.  Ada musuh tersembunyi dapat dinukilkan dari ayat ini sehingga pengikut Nabi Musa A.S. menyembah anak lembu yang ditempa Samiri.  

Surah Taha- [88]
“Kemudian Samiri mengeluarkan untuk mereka dari leburan barang-barang itu (patung) seekor anak lembu yang bertubuh lagi bersuara, lalu mereka berkata: “Ini ialah tuhan kamu dan tuhan bagi Musa, tetapi Musa telah lupa!”

Surah Taha - [96]
Ia menjawab:” Aku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku”.

*Rasul yang dimaksudkan adalah Jibril. Apabila Jibril datang kepadanya, dia perasan bahawa ada perubahan kepada bekas tanah yang dipijak oleh Jibril. Jibril waktu itu datang menyerupai manusia.

Isunya bagaimana anak lembu yang tidka layak disembah, disembah. Isunya, barang yang tidak layak, diangkat  ke tempat yang tinggi. Isunya adalah manusia yang mendewa-dewakan sesuatu, mengangkat2 barang yang tidak layak untuk ditinggikan tetapi ditinggikan dan dimuliakan. Ini antara ujian Jalan Kanan dan para guru dan mursyid. Di jalan kanan ini juga akan berhadapan dengan ujian seperti 'menzahirkan barang yang ghaib', ayat ini untuk kegunaan ini, ayat ini untuk kegunaan itu, amal ini dapat ini, amal itu dapat itu.  Salahkah berbuat sebegitu? Pada umumnya tidak salah kerana mereka yang diuji di Jalan Kanan sudah terpilih juga orangnya, sudah Muslim dan Mukmin, bahkan juga ada yang Solihin, Cuma satu perkara pokok adalah ke mana halatuju mereka? Sudah cukupkah yang dicari dengan amalan-amalan begitu? Apakah hakikat pengabdian yang sebenar? Cukupkah perkara yang baharu dalam menggapai Cinta Yang Abadi? Adakah perkara baharu tidak mengganggu dalam mencari Cinta Yang Satu? Adakah Cinta Sang Maha Pencinta boleh diperolehi jika hati masih diseliputi, masih berhajat, masih berkehendak dengan perkara-perkara baharu? Dan di jalan kanan ini juga ada ujian-ujian ujub, riak, sum'ah, takabbur, ghurur dan lain-lain sifat terkeji tersembunyi jauh di dalam lubuk hati.

Justeru itu, Perjalanan Diri menuju Allah bukanlah mudah jika tidak berhati-hati dengan Jalan Kiri dan Jalan Kanan. Dan sudah pasti jalan yang benar adalah jalan yang lurus. Apakah jalan yang lurus itu? Itulah Jalan dirintis RSAW, tidak lari daripada Al-Quran dan As-Sunnah pada syariat dan hakikat. Itulah jalan yang lengkap dan sempurna. Itulah Jalan yang membawa kepada kenyataan bahawa matlamat Tariqat, Hakikat dan Makrifat itu adalah menyempurnakan Syariat pada diri Si Salik. Lihatlah kehidupan dan perjalanan hidup RSAW kerana itulah Jalan Yang Lurus. Apa2 masalah mengadap Allah SWT, mohon pertolongan dan bantuan Allah SWT, berkehendak kepada Allah SWT semata2. Berjuang atas nama Allah, beribadat semata2 Lillahi Taala, dunia dipakai, diguna atas apa yang perlu sahaja. Apa yang ada di dalam hati? Hanya Allah dan Rasul-Nya.  

Moga kita semua berusaha gigih dan berjaya menempuhi perjalanan ketuhanan yang penuh mencabar ini. Hamba sendiri, jika bukan kerana kasih-Nya, bukan kerana bantuan dan pertolongan kekasih2-Nya, bukan kerana berkat doa para guru yang mursyid, maka kecundang juga. Selagi kita belum menempuhi ujian yang  berat iaitu membebaskan diri dari dunia,  mematikan diri sebelum mati, mencintai Rasulullah SAW melebihi kita mencintai diri sendiri, bekehendak dan berhajat kepada DIA semata-mata, maka masih jauh perjalanan kita.  Moga-moga barangsiapa yang tersilap, tersalah langkah di pertengahan jalan, diberikan petunjuk-NYA dan pertolongan-NYA untuk kembali ke pangkal jalan dan berjalan semula menuju DIRINYA.

Itulah lantunan kata-kata dari hamba dari sedikit ujian Allah untuk hamba ketika mengerjakan umrah baru-baru ini. Allah Taala 'mengingatkan' semula akan matlamat hakiki penghambaan di dunia. Ketika hamba mengerjakan umrah baru2 ini, terniat (terdetik di dalam hati) untuk membeli suatu wangian yg ada khasiat tersendiri, mana nak tahu, boleh guna masa2 depan. Terdetik ini timbul apabila seseorang meminta hamba membelikan sesuatu. Hamba memang tidka suka dikirim membeli barang jika ke Mekah/Madinah kerana 'mengganggu' urusan hamba di kedua Tanah Suci. Akan menghormati si punya badan, hamba belikan juga. Dan hamba pun memang tahu khasiat dan natijah barang yang ingin dibeli ini. Dan terniat untuk dibeli ini sesudah membeli barang ini dan balik ke hotel. Maka Allah Taala Yang Maha Penyayang memberikan petunjuk-NYA ..... "Nak yang itu, tidak boleh masuk dan kekal duduk di dalam Rumah-NYA", walaupun masih boleh berlegar2 di luar rumah-Nya. Pilih sama ada mahu berlegar2 di luar rumah-NYA atau masuk dan bersama dengan-NYA di dalam rumah-NYA"...

Petunjuk yang diterima melalui isteri hamba yang turut bersama (isteri hamba tidak tahu akan niat hamba itu), menyedarkan hamba kembali akan hakikat pengabdian, hakikat jalan ketuhanan yang sebenar. Alhamdulillah.....Wassalam. 


*Catatan ini sekadar pandangan penulis tentang Perjalanan Diri menurut kefahaman dan amalan penulis, dan tidak bermaksud mengeneralisasikan tulisan ini untuk semua perjalanan tariqat tasawuf.



Viewing all articles
Browse latest Browse all 343